GST ,

Isu Wang Hantaran

Friday, December 05, 2014 Sofia Naznim 0 Comments



Kalau mahu berbicara tentang isu hantaran, pasti boleh buat banyak pihak yang pening dan mungkin boleh menimbulkan salah faham dan lagi teruk, persengketaan. Wang hantaran memang dikenali antara isu panas bila nak berkahwin. Lagi lagi kalau semua pihak campurtangan dengan cara yang salah. 

Wahai saudara saudari sekalian, marilah kita elakkan persengketaan. Perkahwinan adalah suatu yang sangat mulia. Janganlah kita terlalu fokus pada wang hantaran dan barang hantaran, kerana yang paling penting adalah kehidupan selepas kahwin, bukan pada majlis perkahwinan itu. Macam mana nak hidup lepas kahwin lagi penting daripada hendak memuaskan hati-hati pihak yang lain. Give and take, itu lebih baik.

Wang hantaran sering menimbulkan salah faham di kalangan masyarakat kita. Kalau anda nak tahu, wang hantaran ini merupakan duit belanja yang diberikan oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan. Maksud wang hantaran juga boleh berbeza mengikut negeri, adat, dan juga cara pemikiran. Wang hantaran boleh digunakan untuk membeli barang perkahwinan, barang hantaran, barang masuk rumah, barang bilik, persiapan perkahwinan dan banyak lagi. Sekiranya ada lebih, itulah yang akan menjadi simpanan pasangan selepas berkahwin dan juga boleh digunakan untuk kecemasan. 

Sesetengah negeri dan adat, wang hantaran boleh dikira sebagai belanja hangus ertinya jumlah wang hantaran itu akan digunakan untuk pembelanjaan perkahwinan dan majlis. Ada juga yang meminta wang hantaran berdasarkan taraf pendidikan anak mereka, status sosial dan lain-lain. Yang ni common zaman sekarang, daripada menilai peribadi murni.

Ada pihak perempuan yang tidak meminta atau meletakkan harga wang hantaran, tetapi bakal suami nak bagi kerana dia mampu dan ikhlas. Paling penting dalam wang hantaran, bagi mengikut kemampuan. Pihak wanita, janganlah berlebihan. Termasuklah ibu bapa, jangan jual anak. Di sini akan tampak keikhlasan dan tanggungjawab pelbagai pihak, bukan sahaja bakal suami mahupun isteri, namun keluarga juga.

Bila nak berkahwin dan menerima anak orang, usahlah menilai status, pendidikan, pekerjaan terlalu berat seolah-olah kita ini hakim duniawi yang tidak akan dihakimi di akhirat nanti. Kalau hendak berkahwin, usahakan yang wajib, yang penting mas kahwin, kalau ada lebih, usahakan wang hantaran untuk majlis kahwin. Biarlah kecil dan bersederhana dari mewah dan membazir. Jangan terlalu terburu-buru untuk berkahwin kalau tidak bersedia bertanggungjawab selain berkemampuan kerana jodoh tidak akan ke mana kalau dia benar-benar milik kamu. Yang penting kena sentiasa berusaha yang terbaik mampu dan berkahwinlah kalau itu yang melengkapkan kamu.

Ibu bapa yang meminta atau mencadangkan anak untuk berkahwin, sokonglah anak itu kerana anda yang mula memberikan idea, impian dan harapan kepada si anak. Janganlah sokong di awal jalan, di tengah jalan mula meragui dan membinasakan harapan anak. Perkahwinan adalah penyatuan dua jiwa menjadi satu. Sangat suci kalau kita melihatnya secara suci. Patah satu, punah lagi yang satu itu. Bagi adik beradik, bersatulah dengan kedua-dua pihak yang bakal berkahwin. Berikan sokongan padu dalam menolong untuk menyempurnakan ikatan suci itu. In Sha Allah semua akan berlangsung dengan baik.

Jangan sesekali membandingkan jumlah wang hantaran dengan keluarga Bedah, Ali, Mahmud, Kiah, jiran tetangga, adik beradik keluarga, kawan-kawan, wang hantaran bapa beri kepada mak dulu, golongan bangsawan atau artis. Ukur baju di badan sendiri dan janganlah keterlaluan. Terpulanglah kepada individu untuk memberi berapa wang hantaran. Namun, jangan sesekali membandingkan dengan individu yang lain atau masa lalu. Masa kini jauh berbeza dengan 10 atau 20 tahun yang lalu. 20 tahun dahulu wang hantaran mak RM1000 sahaja sebagai contoh, maka tidak ajaiblah kalau sekarang anak itu nak bagi mengikut kos masa kini. Ambil kira kadar inflasi 20 tahun lalu dengan masa kini. Rujuk ekonomi semasa dan The Rule of 72. Tambahan lagi untuk yang bakal berkahwin tahun 2015 ke atas, perbelanjaan pasti akan lebih tinggi dengan adanya GST Malaysia (Goods and Sevices Tax) bermula 1 April 2015 nanti. Ini adalah untuk wang hantaran yang diberi untuk menyempurnakan majlis.

Penting untuk memahami untuk tidak riak dan melampau dalam melaksanakan majlis perkahwinan supaya terbit keberkatan dalam perkahwinan. Pentingkanlah masa selepas perkahwinan terutamanya, supaya tiada terikat dengan hutang dan terpaksa ikat perut sebab tak ada duit, duit habis untuk majlis dan hantaran. Fahamkan keluarga dan dapatkan sokongan semua pihak, moga dipermudahkan urusan kalian.

Sebagai keluarga yang baik dan harmoni, sokonglah usaha murni anak dan bantulah mana yang mampu dan boleh. Jangan kita kecilkan hati anak-anak kita di saat dia mahu berkahwin. Bagi pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga, janganlah berhutang untuk berkahwin kerana ini akan menyusahkan anda di masa hadapan. Lakukan mana yang mampu. Kalau mampu adakan majlis kecil atau sekadar yang wajib, tak mengapa, keberkatan perkahwinan di sisi Allah itulah yang penting. Pihak perempuan, fahamilah pihak lelaki. Diri kita tidak boleh diukur dengan wang ringgit, janganlah keterlaluan, dan berpada-padalah serta rasional dalam menguruskan hal-hal sebelum dan selepas berkahwin. Biar susah senang bersama. 

Semoga bakal-bakal pengantin yang ingin mendirikan rumahtangga kuat menghadapi cabaran alam percintaan yang bakal disatukan dan selamat meneguhkan alam kekeluargaan dan percintaan kepada yang sudah berkahwin. ;)

Artikel ini hanyalah sekadar nukilan berdasarkan pemerhatian dan kes-kes yang sedang berlangsung di luar sana. Bersama kita mengambil iktibar dan berusaha ke arah kebaikan. 

=)

You Might Also Like

0 comments :