Kalau Bukan Kita Yang Peduli, Siapa Lagi? 🐾🀍







Pernah tak kita tengah jalan-jalan cari makan, tiba-tiba ternampak anjing jalanan kurus kering menyorok tepi longkang atau tong sampah?


Kadang-kadang kita lalu je sebab rasa serba salah, atau fikir mesti ada orang lain yang tolong bagi makan. Tapi hakikatnya, haiwan-haiwan ni bukan nak hidup merempat mahupun meliar. 


Kebanyakannya dulu ada rumah dan tuan, tapi akhirnya dibuang bila dah tua, sakit, atau tuan dia berpindah.


Kisah Madam Hoo: Berkorban Habis-Habisan Demi Si Bulu


Bagi seorang wanita berhati mulia bernama Madam Hoo, beliau memang tak sampai hati nak buat tak tahu. 


Kisahnya bermula lebih 15 tahun lepas. Dengan duit poket sendiri dan masa rehat yang ada, beliau mula pusing di beberapa kawasan bagi makan anjing-anjing jalanan. 


Usaha murni yang penuh kasih sayang ini akhirnya dikenali ramai sebagai Furry Tails Land.


Bila tengok banyak anjing jalanan yang sakit dan cedera, beliau tak berkira langsung untuk hantar ke klinik haiwan dan tanggung kos rawatan sendiri, walaupun beliau pun ada komitmen keluarga yang bukan sikit. Demi nak pastikan si bulu ni selamat daripada bahaya dan dianiaya, beliau nekad buat tempat perlindungan.


Perjalanan Furry Tails Land menempuh pelbagai cabaran. Kalau dulu shelter mereka bertapak di Broga, kini mereka dah berpindah ke Semenyih. Tanggungjawabnya sekarang jauh lebih mencabar, Madam Hoo uruskan sendiri tempat ni tanpa bantuan pekerja tetap. 


Bayangkan, beliau seorang diri menjaga kebajikan, makan minum, kebersihan, dan rawatan untuk hampir 300 ekor anjing jalanan, termasuk seekor lembu yang turut diselamatkan dan kini melansungkan hidup di shelter tersebut.


Pengalaman Saya: Lebih 10 Tahun Bersama Furry Tails Land


Sebagai seorang pencinta haiwan yang sangat prihatin terhadap nasib haiwan jalanan, saya sendiri sudah mengenali dan menyokong shelter ini lebih daripada 10 tahun. Segalanya bermula apabila saya volunteer sebagai sukarelawan.


Bila mengambil tahu dengan lebih mendalam, betapa hebatnya jiwa kental Madam Hoo dan betapa mendalamnya kasih sayang beliau terhadap setiap nyawa di bawah jagaannya. 


Sejak detik itu, saya konsisten memberi sokongan bulanan mengikut kemampuan saya. Kita adalah suara bagi mereka yang tidak mampu bersuara, jika bukan kita yang peduli, siapa lagi yang akan membela nasib mereka?


Bukan Sekadar Jaga di Shelter, Haiwan di Jalanan pun Tak Dilupakan


Walaupun shelter yang dibina sendiri di Semenyih dah penuh, Madam Hoo tak pernah lupakan mereka yang masih di luar. Di samping menguruskan shelter seorang diri, beliau bersama beberapa sukarelawan tetap turun padang meronda untuk memberi makan kepada beratus-ratus ekor anjing jalanan di sekitar kawasan Selangor dan Kuala Lumpur setiap hari supaya mereka tak tidur berlapar.


Prinsip Furry Tails Land sangat jelas: Selamatkan (Rescue), Rawat & Pulihkan (Rehabilitate), dan Cari Tuan Baharu (Rehome). 


Daripada jangkitan kulit yang parah hinggalah kecederaan akibat langgar lari, semuanya dirawat dengan sabar agar mereka dapat mempercayai manusia semula.


Tolonglah Jadi Pemilik Haiwan yang Bertanggungjawab. Shelter macam ni takkan mampu bertahan lama kalau punca utama masalah ini tidak dihentikan oleh masyarakat kita sendiri:


Mandulkan (Neuter/Spay) Haiwan Peliharaan: Jangan biar mereka membiak tanpa kawalan sampai anak-anak anjing terbiar di tepi jalan. Pemandulan ialah cara paling berkesan dan berperikemanusiaan untuk putuskan rantaian haiwan terbiar.

 

Bela Sampai Hujung Nyawa: Haiwan ada perasaan, bukan barang mainan yang boleh dicampak bila dah bosan atau bila kos rawatan meningkat. Memelihara haiwan adalah komitmen seumur hidup.


Adopt, Don’t Shop: Banyak anjing terbiar yang sangat setia menanti peluang kedua. Bila kita ambil anjing dari shelter, kita sebenarnya selamatkan nyawa mereka dan buka ruang untuk anjing jalanan lain diselamatkan.


Jom Hulurkan Tangan, Ringankan Beban Madam Hoo


Menjaga lebih 300 ekor haiwan setiap hari menuntut berpuluh-puluh beg beras, tin makanan, ubat-ubatan, dan kos bil klinik haiwan yang menelan belanja ribuan ringgit setiap bulan. Beban ini terlalu berat untuk dipikul sendirian oleh seorang insan. 


Jika anda tidak mampu mengambil mereka sebagai haiwan yang boleh diadopt, sumbangan kecil bulanan atau tajaan makanan amat besar maknanya:


Sumbangan Dana / Tajaan: Akaun Public Bank 6496999730 (Madam Hoo Yuh Ru)


Hubungi / Pertanyaan: Madam Hoo di talian +6 012-277 2768


Mungkin sikit bagi kita, tetapi bagi haiwan-haiwan di shelter, itulah talian hayat untuk mereka meneruskan hari esok. 


Jom kita kongsikan kisah ini agar lebih ramai rakyat Malaysia dapat tampil bersama membela nasib haiwan-haiwan yang tidak bersuara ini. 

🀍

Post a Comment

0 Comments