Kunjungi Pavilion Negeri Selangor Di Matta Fair 2022

 



Jangan Lepaskan Peluang bagi Mendapatkan Diskaun Hebat untuk Anda “Pusing Selangor Dulu”



Poster Rasmi penyertaan Tourism Selangor ke MATTA Fair 2022

 

Berita baik untuk semua; pihak Tourism Selangor akan menyertai pameran pelancongan, MATTA FAIR 2022 yang akan berlangsung pada 9 dan 10 April ini di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur (WTC). Jangan lepaskan peluang bagi mendapatkan pelbagai diskaun dan tawaran hebat pakej-pakej pelancongan Negeri Selangor dengan mengunjungi Pavilion Negeri  Selangor di Hall 3, 3237 – 3248 dari 9 pagi sehingga 7 malam pada Sabtu dan Ahad ini.


Seperti tahun-tahun sebelumnya, pihak Tourism Selangor tidak melepaskan peluang menyertai MATTA Fair edisi kali ini dengan disertai barisan operator produk pelancongan Negeri seperti Farm in the City, Jumpstreet (M) Sdn Bhd, Wetworld Waterpark, Majlis Perbandaran Kuala Selangor, Mitsui Outlet Park, Selangor Fruit Valley, Windlab Indoor Skydiving, MAEPS Serdang, Discovery Park @ Gamuda Cove, Hos Komuniti Selangor dan Sky Mirror.


Pihak penganjur, Malaysia Association of Tour and Travel Agents (MATTA) menjangkakan edisi MATTA Fair kali ini akan menarik seramai 50,000 orang pengunjung dalam tempoh dua hari. MATTA Fair yang berkonsepkan “Consumer Fair” ini turut menyaksikan inisiatif promosi pihak Tourism Selangor dalam mempergiat Kempen Pelancongan Domestik; “Pusing Selangor Dulu!”.


MATTA FAIR 2022 juga membuka ruang kepada para penggiat industri pelancongan Negeri Selangor untuk merancakkan kembali industri pelancongan serta meningkatkan jualan pakej- pakej pelancongan Negeri ini. Tambahan pula, dengan sempadan Negara yang telah dibuka sepenuhnya kepada pelancong antarabangsa, MATTA Fair dilihat sebagai landasan terbaik bagi menembusi pasaran pelancongan domestik dan antarabangsa.


Dengan fokus kepada segmentasi pelancongan eko, penyertaan ini juga dapat memberi peluang kepada produk–produk pelancongan Negeri Selangor untuk memperkenalkan produk pelancongan sedia ada dan terbaharu melalui pameran dan jualan secara terus kepada orang ramai. Segmentasi pelancongan lain seperti pelancongan warisan, taman tema dan pengalaman beli-belah turut diketengahkan di MATTA Fair 2022 bagi menonjolkan Negeri Selangor sebagai destinasi pelancongan menyeluruh dan premier di Malaysia.


Merujuk kepada data statistik yang diperolehi oleh pihak Tourism Selangor, Negeri Selangor menerima peningkatan jumlah kedatangan pelancong domestik sebanyak 4.7% pada tahun 2021 berbanding tahun 2020.


Pelancong dari Negeri Selangor sendiri menduduki tangga pertama jumlah kedatangan pelancong domestik dengan 32.1%, diikuti oleh Kuala Lumpur dengan 12.3%, Johor dengan 8.8%, Perak dengan 7.5%, dan Pahang, Kelantan dan Negeri Sembilan dengan masing-masing menyumbang sebanyak 9%.


Hal ini menunjukkan prestasi memberangsangkan industri pelancongan Negeri ini dalam menangani impak pandemik Covid-19 dan perkembangan positif Kempen “Pusing Selangor Dulu!” yang memfokuskan kepada sektor pelancongan domestik Negara. Kempen yang digerakkan di landasan digital -- laman sesawang rasmi dan laman media sosial rasmi Tourism Selangor; Facebook, Instagram, Twitter, aplikasi TikTok dan saluran YouTube semakin mendapat perhatian ramai dengan penggunaan tandapagar #PusingSelangorDulu.


Adalah dijangkakan sebilangan besar pengunjung akan hadir ke tapak pameran Tourism Selangor di MATTA Fair 2022, namun masih menitik-beratkan terhadap pematuhan SOP seperti yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN). Pihak Tourism Selangor juga menyasarkan Negeri Selangor akan diangkat sebagai “Favourite Destinationdi program MATTA Fair edisi seterusnya yang akan berlangsung pada bulan September 2022.


Jadi, apa tunggu lagi; isi masa terluang anda hujung minggu ini, dan jangan lepaskan peluang untuk #PusingSelangorDulu dengan mendapatkan pelbagai tawaran diskaun dan potongan harga menarik hanya di Pavilion Negeri Selangor di MATTA Fair pada 9 dan 10 April ini! Jumpa di sana!


Untuk informasi lanjut tentang produk dan tarikan pelancongan Negeri Selangor serta Kempen Pusing Selangor Dulu; layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di www.selangor.travel.


Tentang Tourism Selangor

Tourism Selangor adalah Agensi Promosi Pelancongan Kerajaan Negeri yang ditubuhkan untuk meningkatkan bilangan pelancong tempatan dan antarabangsa ke Negeri Selangor dengan membangunkan keindahan dan keunikan tersendiri Negeri. Banyak inisiatif telah diambil untuk mencapai matlamat ini seperti menganjurkan kempen di peringkat domestik dan antarabangsa, mengadakan misi perdagangan pelancongan yang dilakukan di luar negara, melancarkan misi jelajah dan kembara, dan banyak lagi.

Post a Comment

0 Comments