Sambutan Hari Malaysia: Menjelajahi Citarasa Malaysia di Selangor



Sempena sambutan Hari Malaysia yang akan tiba, inilah masa yang sesuai untuk kita meraikan kepelbagaian yang terdapat di Negara ini. 



Malaysia yang terkenal sebagai syurga makanan dengan pelbagai juadah dari Semenanjung hingga ke Borneo, merupakan antara tarikan utama kepada para pelancong sama ada dari dalam negara atau luar negara. Sempena Hari Malaysia pada 16 September ini, kami ingin menyeru pelancong-pelancong dari Sabah dan Sarawak untuk merasai juadah-juadah enak di seluruh pelusuk Malaysia yang terdapat di Negeri Selangor!

 

Mohana Bistro, Klang: Gabungan Rasa

Untuk memulakan pengembaraan di Hari Malaysia, tidak lengkap kalau kita tidak singgah ke salah satu tempat makanan yang autentik di Klang! Restoran yang menghidangkan pelbagai juadah dan masakan India, Mohana Bistro menawarkan pelbagai juadah seperti biryani, kari, roti dan pelbagai pilihan makanan vegetarian, semestinya akan membuatkan anda kekenyangan di sini.

 

World of Phalaenopsis, Ulu Yam: Pesta Bunga

Berkonsepkan flora, World of Phalaenopsis merupakan sebuah restoran yang dikelilingi oleh kepelbagaian spesis bunga orkid yang sangat memukau. Menawarkan juadah dengan sentuhan citarasa Malaysia, kepelbagaian menu-menu yang ditawarkan juga menjadikan pengalaman makan di sini, sesuatu yang unik dan tidak dapat dilupakan.

 

Teng Wun Bakery & Confectionery, KKB: Kedai Roti Tradisional

Teng Wun Bakery & Confectionery merupakan kedai roti tradisional yang menyajikan pastri dan manisan seperti kuih bulan yang dibuat secara tradisional, Char Siew Bao dan tart telur yang enak! Bakeri ini juga dikenali dengan pelbagai pastri-pastri tradisional yang terkenal di kalangan kaum Cina. Untuk mereka yang ingin belajar tentang seni kulinari tradisional Malaysia dan tradisi pembuatan roti di Pekan Kuala Kubu Bharu, jangan lupa singgah di sini.

 

Orchard D'lagong Cafe:  Pemandangan Indah

Menyajikan hidangan tradisional yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia seperti Nasi Lemak dan Lempeng bersama sambal tumis, anda mesti singgah ke Orchard D’Lagong Cafe di Bukit Langong, Gombak, Selangor. Restoran yang tersembunyi di tengah-tengah keindahan alam semula jadi ini menawarkan suasana yang tenang untuk para pengunjungnya.

 

Warung Ketupat Kampung Permatang: Rasa Tradisi

Pada cuti Hari Malaysia kali ini, mari ajak rakan-rakan dan keluarga anda ke Warung Ketupat Kampung Permatang di Selangor. Gerai ini memberikan suasana yang klasik, dengan hidangan pelbagai juadah tradisional termasuklah ketupat, iaitu juadah yang sangat lazim dengan rakyat Malaysia.

 

Family Kopitiam Jalan Raya Timur Klang: Warisan Kulinari

Family Kopitiam yang terletak di Jalan Raya Timur Klang merupakan ‘hotspot’ untuk pengunjung yang datang dari pelbagai generasi sama ada muda atau tua untuk menikmati pelbagai juadah tempatan seperti Nasi Ayam Hainan dan Mee Goreng. Di sini anda boleh melihat keunikan kepelbagaian kaum yang ada di Malaysia.

 

Tingkap Cafe: Seni dan Aroma

Menawarkan gabungan unik seni, budaya, dan hidangan, kafe ini tidak hanya terkenal dengan hidangan tempatan yang lazat tetapi juga dengan sentuhan seni yang menarik. Bagi mereka yang menghargai daya tarikan bandar lama dan kenangan zaman dahulu di Malaysia, Kafe Tingkap di Petaling Jaya Old Town adalah tempat yang wajib dikunjungi. Antara menu terbaik yang patut anda cuba adalah Nasi Dagang, Nasi Kerabu, dan Nasi Berlauk yang didatangkan khas dari Kelantan. Menjelang Hari Malaysia ini, jangan lupa untuk kunjungi Tingkap Cafe terutamanya bagi pencinta makanan dan budaya yang inginkan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

 

Pada Hari Malaysia ini, sambil kita merayakan kesatuan dan kepelbagaian yang ada di negara yang indah ini, hidangan autentik Malaysia yang terdapat di Negeri Selangor adalah bukti kepada warisan kulinari yang kaya dan telah menyatukan kita. Kepada semua pelancong-pelancong dari Borneo dan seluruh Malaysia, Negeri Selangor mengalu-alukan kunjungan anda untuk bersama - sama menyelusuri citarasa Malaysia pada Hari Malaysia ini. Mari kita bersama-sama meraikan kepelbagaian budaya yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang benar-benar unik dan menjadi destinasi pilihan utama para pelancong. Selamat Hari Malaysia! Untuk lebih banyak inspirasi perjalanan ke Selangor, lawati laman sesawang rasmi Tourism Selangor, www.selangor.travel, atau ikuti akaun media sosial rasmi Tourism Selangor; Instagram, Facebook, Twitter, TikTok, dan saluran YouTube Tourism Selangor. #PusingSelangorDulu


Mengenai Tourism Selangor

Tourism Selangor merupakan Agensi Promosi Pelancongan Rasmi Negeri Selangor yang ditubuhkan bagi meningkatkan bilangan pelancong tempatan dan antarabangsa ke Selangor dengan mempertingkat dan membangunkan keindahan negeri yang terkenal serta belum ditemui.

Negeri ini merangkumi 9 daerah, termasuk Petaling, Gombak, Klang, Sepang, Hulu Langat, Sabak Bernam, Kuala Selangor, Kuala Langat dan Hulu Selangor. Kawasan ini dikenali sebagai destinasi pelancongan dan acara yang menarik.

Terdapat banyak inisiatif telah diambil bagi mencapai matlamat ini, seperti penganjuran kempen tempatan dan antarabangsa, acara, misi perdagangan pelancongan luar negara, jelajah tempatan dan banyak lagi.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://selangor.travel/ atau ikuti di laman TwitterFacebook dan Instagram

Post a Comment

0 Comments