Jom Ronda-ronda di Shah Alam!



Daerah Petaling yang menjadi pusat Negeri Selangor kini dikenali sebagai Daerah yang paling kerap dilawati. Selain mempunyai sejarah sebagai sebuah bandar yang kecil pada suatu zaman dahulu, kini terdapat banyak penambahbaikan yang dapat dilihat. Petaling menawarkan segala yang anda inginkan. Dari kompleks membeli-belah terkemuka hingga ke restoran terbaik, Shah Alam merupakan Bandar yang siknifikan di Daerah ini. Disini kami ingin syorkan senarai aktiviti yang boleh anda lakukan sepanjang berada di Shah Alam!


9 pagi              : Sarapan pagi di Restoran Gembira

10.30 pagi       : Kekal sihat dengan berbasikal di Taman Botani Shah Alam

1.30 tengahari : Makan tengah hari di Restoran Azira

2.30 tengahari : Lawatan ke Masjid Biru

3.30 petang     : Membeli-belah di Sekyen 7 & bergambar di Laman Seni

4.30 petang     : Minum petang di Kafe Lads and Lassies

5.30 petang     : Alami keseronokan Go Kart di Stadium Shah Alam

7.00 malam     : Santapan malam di Babah & Co

8.30 malam     : Terokai Taman Cahaya & Muzium Red Carpet di i-City

10.00 malam   : Berjalan di sekitar Uptown Shah Alam untuk membeli-belah

11.00 malam   : Makan lewat malam di Restoran Hakim di Seksyen 7


1)       Sarapan pagi di Restoran Gembira

Terletak di belakang McDonald’s, Restoran Gembira merupakan salah satu pilihan tempatan untuk bersarapan! Menyajikan anda dengan pelbagai jenis makanan Malaysia yang enak termasuk Nasi Lemak, Roti Canai serta kuih-muih, restoran ini adalah pilihan utama kami!

(Restoran gembira oleh nurulsakinahazmii)


2)       Kekal sihat dengan berbasikal di Taman Botani Shah Alam

Terkenal dengan kawasan indahnya yang dikelililingi persekitaran semula jadi, Taman Botani kini telah menjadi tempat yang paling digemari khususnya untuk menjalankan aktiviti sukan di Shah Alam! Bukan sahaja ia menawarkan kawasan yang menarik untuk bersenam, tetapi ia juga menempatkan beberapa tarikan di mana anda dapat melihat pelbagai spesis flora dan fauna pada jarak yang dekat.

(Taman botani dari kyension.com)


3)       Makan tengah hari di Restoran Azira

Jangan lupa untuk singgah ke Restoran Azira dan memesan hidangan mereka yang begitu menyelerakan. Terdapat pelbagai pilihan makanan Malaysia dan pencuci mulut yang semestinya menggiurkan! Restoran yang sering menjadi tumpuan ini kerap dipenuhi pelanggan di siang hari. Untuk mengelakkan kesesakan, anda dinasihatkan untuk datang lebih awal ke restoran ini.

(Restoran azira oleh soalanmudah10 at blogspot)


4)       Lawatan ke Masjid Biru

Tiada yang lebih mengkagumkan selain Masjid Biru yang terkenal di Shah Alam! Sebagai masjid terbesar di Malaysia, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz ini sering dilawati oleh pelancong tempatan mahupun antarabangsa. Terletak berhampiran dengan Hotel Concorde yang juga salah sebuah mercu tanda di Shah Alam, anda pasti akan menikmati perjalanan anda ke sini.

(Masjid Biru oleh SF Artography)


5)       Membeli-belah di Seksyen 7 & bergambar di Laman Seni yang berdekatan

Bukankah setiap orang perlukan terapi membeli-belah? Singgah ke Seksyen 7 Shah Alam yang menempatkan deretan kedai yang menawarkan produk dan jenama buatan Malaysia yang terkenal. Antara yang popular adalah gedung Jakel di mana anda boleh mendapatkan kain dan fabrik kegemaran anda di sana. Dalam pada itu, jangan lupa untuk ke Laman Seni yang terletak di kawasan berhampiran untuk koleksi gambar anda.

(Laman seni 7 oleh Xinxian Teoh on flickr)


6)       Singgah di Kafe Lads and Lassies untuk minum petang

Sekiranya anda sedang mencari kafe yang terbaik untuk merehatkan minda di petang hari, kunjungi Lads and Lassies yang terletak di Seksyen 9, Shah Alam! Selain dari kek dan air tehnya yang lazat, dekorasi kafe ini yang artistik juga menjadi faktor kafe ini sering dikunjungi ramai.

(Lads and lassie oleh zomato.com)

 

7)       Bergerak ke Kart di Stadium Shah Alam

Anda buntu untuk aktiviti pada waktu petang? Bawalah diri anda ke Stadium Shah Alam untuk mencuba aktiviti Go Kart yang sudah tentu akan menaikkan semangat perlumbaan anda! Terdapat beberapa pakej menarik ditawarkan di sini, dan sebuah taklimat keselamatan turut diberikan sebelum anda mula memandu.

(go kart oleh vmo.rocks)

 

8)       Makan malam di Babah & Co

Seringkali disyorkan oleh orang ramai, nikmati santapan malam anda di Babah & Co! Terdapat pelbagai pilihan enak dari menu mereka seperti masakan Asia, Barat dan juga campuran yang mampu mengenyangkan anda selepas seharian berjalan. Percayalah, anda pasti tidak akan kecewa.

(Babah & Co oleh teasyu)


9)       Menerokai Taman Cahaya & Muzium Red Carpet di I-City

Semasa anda berada di Shah Alam, jangan lupa untuk kunjungi i-City untuk melihat segalanya yang mereka tawarkan! Dikelilingi dengan lampu LED yang berwarna-warni menyinari seluruh kawasan ini, ianya pasti menjadi suatu malam yang romantis mahupun pengalaman bersiar-siar bersama keluarga yang menyeronokkan. Di Red Carpet Museum pula, anda boleh bergambar dengan patung-patung lilin yang menyerupai selebriti dan watak-watak dari program TV kegemaran anda!

(I-City light parks oleh Icity)


10)   Berjalan di sekitar Uptown Shah Alam untuk membeli-belah

Anda juga boleh bersantai di sekitar Uptown Shah Alam pada waktu malam sambil melihat pelbagai barangan jualan dari pakaian terpakai, gajet dan makanan tempatan! Pengalaman membeli-belah di pasar terbuka pada waktu malam ini harus dimasukkan ke dalam bucket list anda!

(Uptown Shah Alam dari Facebook)


11)   Berhenti di Restoran Hakim di Seksyen 7 untuk makan lewat malam

Akhiri perjalanan anda di Shah Alam dengan makan lewat malam di Restoran Hakim yang bertempat di Seksyen 7! Antara makanan yang terkenal mereka adalah Nasi Kandar yang patut anda cuba sebaik sahaja tiba di sini. Namun, sekiranya anda lebih sukakan makanan yang sedikit ringan, anda boleh memesan roti canai mereka!  

(Hakim oleh Bernama)


Bermula dari sarapan pagi yang amat menyelerakan di salah sebuah restoran terbaik sehinggalah penjelajahan ke lokasi-lokasi terunggul di Shah Alam, Daerah Petaling menawarkan pelbagai aktiviti untuk dilakukan! Kami mencadangkan anda tempat-tempat terbaru dan popular yang sudah pasti akan membuat perjalanan anda lebih menarik. Selain itu, pastikan anda tidak lupa untuk melawati seleksi tempat-tempat menarik yang terdapat di Dearah Petaling sebaik sahaja anda tiba di Negeri Selangor!


Kesemua senarai produk dan pilihan destinasi di atas dinyatakan hanya sebagai syor dari pihak Tourism Selangor. Untuk informasi lanjut tentang produk-produk pelancongan menarik di Negeri Selangor, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel


Tentang Tourism Selangor

Tourism Selangor adalah cabang pelancongan Kerajaan Negeri yang ditubuhkan untuk meningkatkan bilangan pelancong tempatan dan antarabangsa ke Negeri Selangor dengan membangunkan keindahan dan keunikan tersendiri Negeri. Banyak inisiatif telah diambil untuk mencapai matlamat ini seperti menganjurkan kempen di peringkat domestik dan antarabangsa, mengadakan misi perdagangan pelancongan yang dilakukan di luar negara, melancarkan misi jelajah dan kembara, dan banyak lagi.

Post a Comment

0 Comments